Saturday, February 12, 2011

Manfaatkan teknologi nuklear


Sebagai negara membangun, wajar bagi kerajaan mengkaji semula usaha memajukan teknologi nuklear terutama dalam menjana tenaga elektrik bagi mengantikan petroleum dan arang batu yang semakin kritikal bekalannya. Pembangunan modal insan terutamanya golongan professional dan pengurus yang pakar dalam penjanaan sumber tenaga diperbaharui itu adalah langkah awal perlu diberi perhatian khusus. Demikian pendapat Pengerusi Suruhanjaya Pengasas Sekolah Siswazah Nuklear Antarabangsa Korea Electric Power Corporation (KEPCO INGS), Prof. Dr KunMo Chung, seperti disampaikan kepada wartawan Varsiti, Rosniza Mohd Taha.

Prof antara orang kuat yang membangunkan industri nuklear di Korea Selatan ketika memegang Presiden KEPCO dan Menteri Sains dan Teknologi Korea Selatan pada 1970-an dan 1980-an. Boleh berkongsi strategi kejayaan itu?

Usaha pembaharuan tenaga nuklear sebenarnya sebahagian strategi pembinaan negara bangsa bermula pada 1960-an selepas Perang Korea berakhir pada 1950-an. Sebagai negara yang kekurangan sumber semula jadi, kami sedar pembangunan negara bangsa Korea banyak bergantung kepada kemajuan sains dan teknologi. Atas kesedaran itu, kami belajar mengenai pembangunan sains dan teknologi sewaktu berada dalam kem pelarian lagi ketika perang saudara Korea Selatan dan Korea Utara hampir reda pada lewat 1950-an.

Program nuklear Korea bermula pada 1959 dengan mempelajari, memahami dan menggunakan kemajuan sains dan teknologi Negara maju seperti Amerika Syarikat untuk membina keyakinan. Kami mula menghasilkan teknologi sendiri pada 1970-an sekali gus menjalankan usaha intensif dalam pembangunan modal insan bidang berkenaan. 

Pada 1980-an, kami Berjaya membina reaktor kuasa nuklear hasil rekaan sendiri yang terus ditambah baik hingga kini. Rekaan reaktor kuasa nuklear kami yang terbaru, Advanced Power Plant (APR) 1400 berjaya dieksport apabila memenangi kontrak pembinaan reaktor kuasa nuklear di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu, pada Disember 2009.

Apa pengajaran boleh diambil Malaysia dan negara lain yang berhasrat membangunkan teknologi nuklear berdasarkan pengalaman Korea Selatan itu?

Setiap teknologi mempunyai dua fungsi iaitu memberi kebaikan dan musibah. Sesebuah negara tidak seharusnya menolak sesuatu teknologi itu hanya kerana ia pernah disalah guna. Setiap teknologi itu unik dan berupaya berkembang serta menyumbang untuk kesejahteraan. Apa yang penting ialah menanam iltizam kerana setiap teknologi yang dibangunkan bakal menymbang kepada kesejahteraan sejagat. 

Kunci kejayaan Korea Selatan mencapai teknologi dalam tempoh singkat, khususnya pembangunan tenaga nuklear untuk penjanaan tenaga elektrik, ialah dengan mengambil tindakan konkrit. Sejak 1960, kerajaan Korea melaksanakan langkah demi langkah direncana menerusi Rancangan Pembangunan Sains dan Teknologi bagi merealisasikan visi itu. Semangat yakin boleh buat dan komitmen tinggi kerajaan penting bagi menerajui usaha memajukan teknologi ini, bukan saja untuk manfaat masyarakat setempat, malah komuniti global.

Pada pendapat Prof., apa antara langkah terawal penting dalam hal ini?

Sudah pasti pembangunan modal insan menerusi pendidikan bagi menghasilkan kepakaran tinggi dalam pembangunan teknologi nuklear. Sebagai contoh, ketika Korea selatan menetapkan pertumbuhan teknologi hijau dan mengurangkan penghasilan gas rumah hijau sebagai sebahagian visi nasional, saya menubuhkan KEPCO.

Saya memulakan dengan mengajar jurutera syarikat itu menguasai bahasa Inggeris bermula jam 7 pagi. Mereka diwajibkan hadir ke syarikat awal dua jam sebelum waktu bekerja bermula bagi mengikuti sesi pembelajaran khas itu kerana semua dokumentasi berkaitan teknologi nuklear pada masa itu dalam bahasa Inggeris dan mereka perlu memahaminya. 

Menerusi usaha intensif seperti itu, KEPCO kini diiktiraf sebagai antara syarikat kejuruteraan global yang menerajui pembangunan industri teknologi berkonsep mesra alam sekitar dan antara buktinya apabila ia mendapat kontrak pembinaan APR1400 di Abu Dhabi.

Bagi memenuhi sasaran 100,000 profesional berkhidmat dalam industri nuklear pada 2030, berapa banyak institusi di Korea Selatan menawarkan peluang pengajian dan latihan bidang itu ketika ini?

Selain pihak industri, kita ada dua institusi menawarkan bidang nuklear iaitu Korea Atomic Energy Research Institute dan Korea Institute of Nuclear Safety. Selain itu, pendidikan formal juga boleh didapati di beberapa institusi pengajian tinggi seperti Universiti Kebangsaan Seoul, Institut Sains dan Teknologi Korea, Universiti Hanyang serta Universiti Kyung-Hee. 

KEPCO INGS yang bakal menumpukan pengajian pascasiswazah serta sistem kejuruteraan reaktor kuasa nuklear pula dijangka mula beroperasi pada Mac 2012.

Adakah rakyat negara lain berpeluang mengikuti pengajian di KEPCO INGS?

Kami memang berhasrat membuka peluang pengajian di KEPCO INGS kepada pelajar antarabangsa termasuk Malaysia. Pengajian berciri praktikal sepenuhnya dan kampusnya di Kompleks Kuasa Nuklear Kori. 

Pendekatan digunakan ialah belajar menerusi pengalaman kerana graduan yang ingin dihasilkan bukan sekadar professor atau penyelidik, tetapi jurutera atau pengamal industri yang boleh terus berkhidmat dan menerajui pembangunan industri nuklear di negara masing-masing. Kelayakan akan ditawarkan ialah Sarjana kejuruteraan yang mengambil tempoh 20 bulan dan jika dilanjutkan selama dua hingga tiga tahun latihan indutri serta peyelidikan, Ijazah Kedoktoran Teknologi akan dianugerahkan.

(Sumber ini telah diambil daripada Berita Harian bertarikh 13-19 Januari 2011)