Saturday, February 12, 2011

Manfaatkan teknologi nuklear


Sebagai negara membangun, wajar bagi kerajaan mengkaji semula usaha memajukan teknologi nuklear terutama dalam menjana tenaga elektrik bagi mengantikan petroleum dan arang batu yang semakin kritikal bekalannya. Pembangunan modal insan terutamanya golongan professional dan pengurus yang pakar dalam penjanaan sumber tenaga diperbaharui itu adalah langkah awal perlu diberi perhatian khusus. Demikian pendapat Pengerusi Suruhanjaya Pengasas Sekolah Siswazah Nuklear Antarabangsa Korea Electric Power Corporation (KEPCO INGS), Prof. Dr KunMo Chung, seperti disampaikan kepada wartawan Varsiti, Rosniza Mohd Taha.

Prof antara orang kuat yang membangunkan industri nuklear di Korea Selatan ketika memegang Presiden KEPCO dan Menteri Sains dan Teknologi Korea Selatan pada 1970-an dan 1980-an. Boleh berkongsi strategi kejayaan itu?

Usaha pembaharuan tenaga nuklear sebenarnya sebahagian strategi pembinaan negara bangsa bermula pada 1960-an selepas Perang Korea berakhir pada 1950-an. Sebagai negara yang kekurangan sumber semula jadi, kami sedar pembangunan negara bangsa Korea banyak bergantung kepada kemajuan sains dan teknologi. Atas kesedaran itu, kami belajar mengenai pembangunan sains dan teknologi sewaktu berada dalam kem pelarian lagi ketika perang saudara Korea Selatan dan Korea Utara hampir reda pada lewat 1950-an.

Program nuklear Korea bermula pada 1959 dengan mempelajari, memahami dan menggunakan kemajuan sains dan teknologi Negara maju seperti Amerika Syarikat untuk membina keyakinan. Kami mula menghasilkan teknologi sendiri pada 1970-an sekali gus menjalankan usaha intensif dalam pembangunan modal insan bidang berkenaan. 

Pada 1980-an, kami Berjaya membina reaktor kuasa nuklear hasil rekaan sendiri yang terus ditambah baik hingga kini. Rekaan reaktor kuasa nuklear kami yang terbaru, Advanced Power Plant (APR) 1400 berjaya dieksport apabila memenangi kontrak pembinaan reaktor kuasa nuklear di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu, pada Disember 2009.

Apa pengajaran boleh diambil Malaysia dan negara lain yang berhasrat membangunkan teknologi nuklear berdasarkan pengalaman Korea Selatan itu?

Setiap teknologi mempunyai dua fungsi iaitu memberi kebaikan dan musibah. Sesebuah negara tidak seharusnya menolak sesuatu teknologi itu hanya kerana ia pernah disalah guna. Setiap teknologi itu unik dan berupaya berkembang serta menyumbang untuk kesejahteraan. Apa yang penting ialah menanam iltizam kerana setiap teknologi yang dibangunkan bakal menymbang kepada kesejahteraan sejagat. 

Kunci kejayaan Korea Selatan mencapai teknologi dalam tempoh singkat, khususnya pembangunan tenaga nuklear untuk penjanaan tenaga elektrik, ialah dengan mengambil tindakan konkrit. Sejak 1960, kerajaan Korea melaksanakan langkah demi langkah direncana menerusi Rancangan Pembangunan Sains dan Teknologi bagi merealisasikan visi itu. Semangat yakin boleh buat dan komitmen tinggi kerajaan penting bagi menerajui usaha memajukan teknologi ini, bukan saja untuk manfaat masyarakat setempat, malah komuniti global.

Pada pendapat Prof., apa antara langkah terawal penting dalam hal ini?

Sudah pasti pembangunan modal insan menerusi pendidikan bagi menghasilkan kepakaran tinggi dalam pembangunan teknologi nuklear. Sebagai contoh, ketika Korea selatan menetapkan pertumbuhan teknologi hijau dan mengurangkan penghasilan gas rumah hijau sebagai sebahagian visi nasional, saya menubuhkan KEPCO.

Saya memulakan dengan mengajar jurutera syarikat itu menguasai bahasa Inggeris bermula jam 7 pagi. Mereka diwajibkan hadir ke syarikat awal dua jam sebelum waktu bekerja bermula bagi mengikuti sesi pembelajaran khas itu kerana semua dokumentasi berkaitan teknologi nuklear pada masa itu dalam bahasa Inggeris dan mereka perlu memahaminya. 

Menerusi usaha intensif seperti itu, KEPCO kini diiktiraf sebagai antara syarikat kejuruteraan global yang menerajui pembangunan industri teknologi berkonsep mesra alam sekitar dan antara buktinya apabila ia mendapat kontrak pembinaan APR1400 di Abu Dhabi.

Bagi memenuhi sasaran 100,000 profesional berkhidmat dalam industri nuklear pada 2030, berapa banyak institusi di Korea Selatan menawarkan peluang pengajian dan latihan bidang itu ketika ini?

Selain pihak industri, kita ada dua institusi menawarkan bidang nuklear iaitu Korea Atomic Energy Research Institute dan Korea Institute of Nuclear Safety. Selain itu, pendidikan formal juga boleh didapati di beberapa institusi pengajian tinggi seperti Universiti Kebangsaan Seoul, Institut Sains dan Teknologi Korea, Universiti Hanyang serta Universiti Kyung-Hee. 

KEPCO INGS yang bakal menumpukan pengajian pascasiswazah serta sistem kejuruteraan reaktor kuasa nuklear pula dijangka mula beroperasi pada Mac 2012.

Adakah rakyat negara lain berpeluang mengikuti pengajian di KEPCO INGS?

Kami memang berhasrat membuka peluang pengajian di KEPCO INGS kepada pelajar antarabangsa termasuk Malaysia. Pengajian berciri praktikal sepenuhnya dan kampusnya di Kompleks Kuasa Nuklear Kori. 

Pendekatan digunakan ialah belajar menerusi pengalaman kerana graduan yang ingin dihasilkan bukan sekadar professor atau penyelidik, tetapi jurutera atau pengamal industri yang boleh terus berkhidmat dan menerajui pembangunan industri nuklear di negara masing-masing. Kelayakan akan ditawarkan ialah Sarjana kejuruteraan yang mengambil tempoh 20 bulan dan jika dilanjutkan selama dua hingga tiga tahun latihan indutri serta peyelidikan, Ijazah Kedoktoran Teknologi akan dianugerahkan.

(Sumber ini telah diambil daripada Berita Harian bertarikh 13-19 Januari 2011)

Friday, February 11, 2011

Tenaga Nuklear : Sumber penjanaan tenaga elektrik

Oleh: Kori Hiwatari

Bahan api fosil seperti petroleum, arang batu, dan gas asli merupakan sumber utama bagi penjanaan tenaga elektrik di Malaysia. Ketiga-tiga sumber ini akan dibakar bagi menghasilkan tenaga haba yang akan menukarkan air kepada wap air yang seterusnya akan menggerakkan turbin. Pergerakan turbin inilah yang akan menghasilkan aliran elektrik. Namun, ketiga-tiga sumber ini akan pupus apabila digunakan secara berterusan walaupun banyak kawasan baru ditemui. Selain itu, timbul pula isu kesan sampinganya kepada alam sekitar. Pembakaran arang batu dan minyak menghasilkan gas-gas rumah hijau dan bahan-bahan terampai. Keadaan ini yang menyebabkan berlakunya masalah pencemaran udara, hujan asid, pemanasan global dan sebagainya.

Berikutan itu, banyak pihak berusaha mencari sumber tenaga yang lebih selamat, menjimatkan serta mampu bertahan untuk jangka masa yang lama. Antaranya ialah tenaga nuklear, tenaga suria, tenaga angin, tenaga hidro, biojisim, biogas, geoterma, ombak, tenaga dan terma lautan. Tenaga nuklear merupakan sumber tenaga bukan fosil manakala sumber-sumber yang lain adalah sumber tenaga boleh diperbaharui. Tenaga boleh diperbaharui adalah bersifat berkekalan, tidak menimbulkan pencemaran kepada alam sekitar dan boleh ditemui dimana-mana sahaja hasil daripada sifat tabii alam. 

Tenaga hidro diperoleh apabila air sungai di kawasan lebih tinggi diempang dan dialirkan ke turbin bagi menghasilkan tenaga elektrik sebelum berpindah ke kawasan rendah.  Sebahagian besar tenaga boleh diperbaharui di Malaysia diperolehi daripada tenaga ini. Walaupun ia boleh berfungsi sebagai kawasan rekreasi dan tidak mencemarkan alam, namun limpahan air yang terlalu banyak akan berlakunya kerosakan keseimbangan alam serta menjejaskan flora dan fauna. Sebagai contoh, apabila limpahan air berlaku, haiwan bersaiz besar seperti gajah, harimau  atau rusa mungkin mampu berpindah ke tempat lain, tetapi bagi haiwan bersaiz kecil seperti siput, kumbang atau mentibang, mereka agak sukar untuk berpindah ke kawasan lain dalam tempoh yang singkat. Bagaimana pula dengan spesis flora yang lain? Keadaan inilah yang amat dibimbangi oleh banyak pihak dalam projek Empangan Bakun. Selain itu, pembinaan empangan yang besar memerlukan belanja kos yang tinggi. 

Oleh kerana Malaysia berada di kawasan khatulistiwa, maka kita menerima pancaran matahari sepanjang tahun. Justeru bekalan tenaga suria dapat diperoleh tanpa mengira musim atau kedudukan matahari. Walaupun penggunaan tenaga suria bagi penjanaan tenaga elektrik telah lama digunakan sejak sekitar tahun 1980an lagi, namun hingga kini ia masih tidak ditingkatkan penggunaannya bagi skala besar atas faktor kengkangan teknologi. Teknologi sebegini masih lagi mahal. Bagi menghasilkan 1000MWatt, sebuah panel suria yang seluas 100 km2 diperlukan. Faktor alam sekitar juga perlu diambil kira. Walaupun berada garisan khatulistiwa, perlu diingatkan bahawa Malaysia juga terletak di kawasan tropika yang lembap. Maka, corak awan akan mempengaruhi keamatan sinaran suria yang menimpa bumi Malaysia. Oleh demikian, hingga kini kajian masih dijalankan agar dapat menghasilkan tenaga suria dalam keamatan sinaran yang rendah. 

Di Negara-negara Eropah dan Negara kepulauan, banyak kincir angin dibina secara komersial. Perkembangan ini menyebabkan banyak pihak yang menyarankan agar tenaga angin dapat digunapakai di Malaysia. Namun demikian, walaupun bersifat mesra alam tetapi ia agak sukar untuk diaplikasikan di Malaysia atas beberapa faktor. Kelajuan angin di Malaysia adalah sekitar 5 m s-1. Kincir angin perlu dibina di kawasan tinggi dan terpencil. Selain itu, pembinaannya memerlukan kos yang tinggi. 

Biojisim  terhasil daripada pembakaran  sisa pertanian, sampah domestik bahan organik manakala biogas terhasil daripada pembakaran gas metana yang terhasil daripada pereputan bahan organik. Kedua-duanya menggunakan konsep yang sama seperti petroleum dan arang batu bagi tujuan penjanaan tenaga elektrik. Cuma apa yang membezakannya adalah sumber bahan api itu sendiri. Tenaga geoterma, ombak, tenaga dan terma lautan adalah agak agak sukar untuk diaplikasikan di Malaysia berikutan faktor persekitaran yang tidak mengizinkan. Malahan ia memakan belanja kos yang tinggi. 

Tenaga nuklear dihasilkan apabila nukleus sesuatu yang kurang stabil mengalami proses pembelahan dan pelakuran. Ia terbukti dapat diaplikasi bagi tujuan penjanaan tenaga elektrik, penyulingan air laut serta beberapa kegunaan lain dalam industri lain walaupun ia sering dikaitkan dengan peperangan. Penggunaan tenaga nuklear di Malaysia pula bermula pada sekitar tahun 1970an lagi yang mana sebuah reaktor kajian yang dikenali sebagai Triga Mark 11 dibina untuk tujuan kajian. Negara lain seperti Korea Selatan juga turut mengorak langkah yang sama seperti Malaysia pada ketika itu. 

Namun, Korea Selatan kini menjadi Negara kelima yang memiliki 20 buah loji reaktor nuklear yang menjadi sumber penjanaan utama tenaga elektrik manakala Malaysia pula masih lagi kurang berupaya membina loji tersebut disebabkan beberapa faktor. Antaranya ialah kurangnya komitmen kerajaan terhadap tenaga ini dan kebimbangan serta kekurangan sokongan daripada masyarakat. Ramai yang beranggapan bahawa Malaysia masih kurang berupaya untuk membina teknologi tenaga nuklear selain isu kesannya terhadap alam sekitar berikutan tragedi Chenobyl dan Three Mile Island. 

Walaubagaimanapun, isu ketidakupayaan ini tidak seharusnya timbul. Sekiranya Malaysia mampu membina Bangunan Berkembar Petronas, laluan SMART, dan beberapa projek mega Negara yang lain tatkala dunia ketika itu merasakan ia agak mustahil bagi sebuah negara membangun seperti Malaysia, mengapa tidak kepada projek pembinaan reaktor loji tenaga nuklear? Selepas tragedi Chenobyl, banyak pihak telah berusaha bagi meningkatkan keselamatan dan teknologi tenaga ini bagi meminimumkan impaknya sekiranya kemalangan terjadi. Sebagai contoh, reaktor telah direka supaya ‘shutdown’ secara automatik apabila berlaku keadaan yang tidak dijangka seperti gempa bumi, ribut, proses tindakbalas berantai yang berada luar kawalan secara tiba-tiba dan sebagainya. 

Bagi kebanyakan negara seperti Sweeden, Jepun, dan Amerika, mereka akan melupuskan sisa bahan api nuklear yang beradioaktif dengan menyimpan ia jauh ke dalam dasar bawah tanah. Selain itu, sisa bahan api yang bertahap tinggi juga boleh diproses semula untuk digunapakai sebagai bahan api tenaga nuklear. Namun masih timbul kebimbangan mengenai kemampuan Malaysia. 



Menurut Prof. Dr KunMo Chung, penasihat bagi Korea Electric Power Corporation dalam seminar ‘Talk and Dialogue on South Korea’s Experience on Nuclear Power Development’ pada tahun 2009 pernah menyatakan faktor-faktor utama kejayaan Korea Selatan kini dalam teknologi tersebut. Pertama ialah kepimpinan dan komitmen kerajaan Korea terhadap teknologi nuklear. Selain itu, adanya sokongan kuat dan galakkan daripada masyarakat Korea. Dalam hal ini, masyarakat Malaysia perlu didedahkan tentang keberkesanan teknologi tenaga nuklear bagi penjanaan tenaga elektrik. Lihat saja pada negara Jepun yang mana dua buah ledakan bom atom pernah berlaku pada perang dunia kedua. Ironinya Jepun kini memiliki 55 buah loji tenaga nuklear yang masih lagi aktif. Rakyat Korea juga sudah sedia maklum bahawa tenaga nuklear juga boleh digunakan untuk tujuan keamanan. 

Menurut beliau, adanya semangat patriotik dan kesetiaan yang mendalam di kalangan rakyat Korea yang berpendidikan tinggi dan berkemahiran terutama yang berkaitan tenaga nuklear. Banyak tenaga pakar yang pulang ke Korea selepas menimba banyak pengalaman di luar negara. Mereka sedar betapa pentingnya sumbangan bakti mereka terhadap negara walaupun mungkin faedahnya tidaklah sebaik mana dengan faedah yang dimiliki oleh tenaga pakar lain di negara lain seperti bayaran gaji, atau keselesaan hidup, atau sebagainya.
  
Ujarnya lagi, kerjasama dan sumbangan industri-industri domestik dan luar negara serta institusi-institusi penyelidikan juga kunci kejayaan Korea dalam menggerakkan teknologi tenaga nuklear di tempat mereka. Memang benar Korea telah membangunkan teknologi reaktornya sendiri namun pada awal pengenalan tenaga nuklear, Korea telah menjalinkan kerjasama dengan industri yang berkaitan dengan teknologi reaktor nuklear seperti Westinghouse. Hasilnya perpindahan teknologi reaktor berlaku. Pada peringkat seterusnya, mereka pula berupaya untuk membangunkan teknologi tersebut hasil penyelidikan mereka menerusi institusi-institusi penyelidikan yang telah diberikan kemudahan-kemudahan bertaraf dunia. Antaranya ialah KAIST yang kini terkenal di mata dunia sebagai universiti penyelidikan yang berdaya maju dalam bidang sains dan kejuruteraan nuklear.

Beliau turut menambah, seandainya Malaysia menuruti faktor-faktor kejayaan ini, beliau tidak menolak kemungkinan Malaysia mampu memiliki loji tenaga nuklearnya sendiri dalam tempoh 5 tahun sahaja. Namun ia bergantung kepada kita sendiri sejauh mana kita ingin meneroka dalam bidang ini. Justeru, pemahaman rakyat mengenai tenaga nuklear amat penting sebagai langkah utama dalam mengalakkan penggunaannya sebagai sumber penjanaan tenaga elektrik utama negara.